AYER KEROH, MELAKA.
Seorang wanita muda bertindak berang dengan menumbuk dinding selepas Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM70,000 terhadapnya atas tuduhan menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen di Bukit Katil, Januari lalu.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, dari Alor Setar, Kedah selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil, jam 10.15 malam, pada 25 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut subseksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan, Nurul Khairiyah Samsudin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan pesakit kerana proses menjalankan pendakap gigi hanya boleh dilakukan doktor bertauliah, selain kes itu bukan yang pertama di Melaka dan Malaysia.
Nur Farahanis yang juga graduan sebuah kolej vokasional diwakili peguam bela Janariah Mustafa merayu hukuman diringankan dengan alasan ia kesalahan pertama tertuduh, menjimatkan masa mahkamah, selain insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.
Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Norma kemudian menjatuhkan hukuman denda RM70,000 terhadap tertuduh, jika gagal bayar dipenjara enam bulan.
Sumber : BERITA HARIAN
[ BERITA TERBARU SETERUSNYA.. ]
PPIM beri respon balas yang mengejutkan selepas Sultan Johor arahkan dobi mesra Muslim ditutup.
KUALA LUMPUR
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menganggap tindakan sebuah kedai dobi di Muar yang hanya mahu berurusan dengan pelanggan Islam adalah bukan isu besar, sebaliknya membandingkan perkara itu kepada majikan yang tidak mengambil staf bukan Cina.
Ketua PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata dasar kedai dobi Elit Laundry yang mengundang kemarahan Sultan Johor itu seharusnya difikir dengan terbuka dan tidak perlu dianggap sensitif.
“Saya tidak fikir orang buat ini untuk menyakitkan hati siapa-siapa. Sebab dia faham tentang Islam,” katanya mempertahankan pemilik dobi berkenaan, yang dibidas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana jahil agama dan bersikap pelampau.
Nadzim sebaliknya beralih kepada isu diskriminasi di tempat kerja.
“Contoh tempat kerja hanya untuk orang Cina sahaja,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan tindakan kedai dobi layan diri itu selepas tular gambar papan tanda “mesra Muslim” yang memaklumkan kedai itu hanya menerima pelanggan Islam atas “faktor kesucian”.
Dalam temubual bersama The Star hari ini, Sultan Ibrahim berkata ia amalan yang memalukan, dan mengarahkan pemilik dobi berkenaan memohon maaf kerana memalukan rakyat Johor.
Pemilik yang enggan memperkenalkan namanya ketika dihubungi berkata papan tanda itu sudah diturunkan dan memohon maaf kerana melaksanakan polisi tersebut.
Sebelum kenyataan Sultan Johor, langkah kedai dobi itu menerima pujian beberapa tokoh agama negeri, termasuk Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Nooh Gadut dan Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang menyifatkan ia “cantik” kerana menjamin kesucian.
Bagi Nadzim, isu kedai dobi itu terlalu diperbesar-besarkan.
“Pada saya tak ada isu, tidak seharusnya diambil sebagai isu. Diambil secara baik.
“Tetapi diperingkat orang ramai tak perlu dijadikan politik,” katanya.
Nadzim berkata pengguna ada hak untuk memilih.
“Bagi saya kita harus berlapang dada. Kita tidak harus jadikan isu,” katanya lagi.
“Macam saya, akan pergi kedai itu sebab saya nak bersih. Kalau orang lain tak nak itu hak dia,” katanya.
Sumber : Free Malaysia Today
Sumber : BeritaSemasa