SATU bangkai penyu ditemui terapung di laut oleh pasukan penyiasat berhampiran Pulau Bum-Bum, Semporna. – Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
TULANG penyu ditemui di kawasan semak di beberapa kampung di Pulau Bum-Bum, Semporna. – Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
KOTA KINABALU: Pihak berkuasa menemui kira-kira 100 tulang penyu di kawasan semak beberapa kampung di Pulau Bum-Bum, Semporna, sekali gus mengesahkan wujud aktiviti pemburuan haram terhadap hidupan marin itu di kawasan terbabit sejak sekian lama.Penemuan itu hasil siasatan pihak berkuasa susulan laporan penemuan lapan bangkai penyu berselerak di tepi sebuah pantai di pulau berkenaan oleh penduduk kampung, semalam.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tugaa, berkata anggotanya bersama beberapa agensi berkaitan serta badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan siasatan di lokasi bangkai penyu terbabit dilaporkan ditemui, pagi tadi.
Katanya, ketika anggota penyiasat tiba di lokasi jam 8 pagi tadi, bangkai penyu tidak lagi berada di situ dipercayai dihanyutkan ke tengah laut.
Beliau berkata, hanya satu bangkai penyu ditemui terapung di laut oleh pasukan penyiasat yang mengesahkan laporan terdahulu adalah benar.
“Siasatan lanjut ke beberapa kampung berhampiran pantai di sekitar pulau itu menunjukkan aktiviti pemburuan haram telah berlaku sejak sekian lama.
“Mereka tidak tinggal di kawasan itu tetapi sentiasa bergerak dengan bot. Sesetengah suspek telah dikenal pasti dan siasatan diteruskan,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.
Semalam, gambar yang tersebar di laman sosial menunjukkan beberapa ekor penyu dengan keadaan perutnya terdedah, terdampar di tepi pantai di pulau berkenaan.
sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/09/331319/perlakuan-kejam-terhadap-penyu-di-pulau-bum-bum
Sumber : BeritaSemasa